PUTRAJAYA – “Tipulah kalau saya kata tidak terkesan atau tidak kecewa sebagai salah seorang yang sudah lima tahun menuntut keadilan dan kebenaran”.
Demikian kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menzahirkan kekecewaan selepas prosiding rayuan dijalankan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Menurut beliau, prosiding hari ini terpaksa ditangguhkan selepas pendakwa raya dari pasukan pendakwaan dilaporkan kurang sihat untuk meneruskan hujahan.
“Saya doakan mereka cepat pulih. Pada masa sama, tipulah kalau saya kata bahawa saya tidak terkesan atau tidak kecewa sebagai salah seorang yang sudah lima tahun menuntut keadilan dan kebenaran.
“Tetapi saya sebagai rakyat Malaysia, sebagai penggubal dasar, tetap menghormati pihak pendakwa raya khususnya institusi kehakiman yang juga benteng terakhir bagi demokrasi dan pihak yang teraniaya,” katanya pada sidang media selepas penangguhan hujahan pendakwaan, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan menangguhkan kepada 17 April ini bagi menyambung hujahan pendakwaan dalam rayuan Syed Saddiq bagi mengetepikan sabitan empat tuduhan berkaitan dana ARMADA yang dihadapinya.
Syed Saddiq, 32, merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, yang sedang berhujah bagi pihak responden hari ini, tidak dapat dapat meneruskan hujahan selepas beliau tiba-tiba ‘hilang suara’.
Wan Shaharuddin kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mengalami sakit tekak sejak pagi tadi, dan banyak lagi fakta yang perlu dihujahkan di mana beliau memerlukan kira-kira 45 minit untuk menyudahkan hujahan.
Berikutan itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin menangguhkan prosiding.
Menurut Syed Saddiq, beliau sejujurnya berharap proses rayuan yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua hari akan berakhir hari ini, namun penangguhan tidak dapat dielakkan apabila ia membabitkan isu kesihatan.
“Saya rasa rakyat dan media tahu bahawa saya disiasat sejak 2020 lagi dan ia memakan masa setahun setengah untuk saya didakwa. Selepas sudah didakwa, tak pernah sehari pun saya menangguhkan kes mahkamah.
“Hanya Allah yang tahu berapa kali saya sakit tetapi tetap akan menghadiri proses mahkamah. Tak pernah sekali pun saya dan keluarga akan menggagalkan proses keadilan itu untuk berterusan,” katanya.
Tambah Syed Saddiq, selepas menunggu dua tahun untuk mendapatkan penghakiman bertulis untuk memulakan proses rayuan terhadap sabitan hukuman, ternyata beliau amat berharap rayuannya dapat diputuskan hari ini.
“Sebab itu saya pada peringkat awal, (saya) betul-betul berharap bahawa dua hari yang telah ditetapkan itu adalah pengakhiran. Walaupun kecewa tetapi saya tetap perlu menghormati institusi pendakwa raya, institusi kehakiman.
“Saya pun faham kalau betul sudah sakit, tidak banyak yang boleh dilakukan. Saya hanya berharap bahawa proses ini tidak akan ditangguhkan dan keadilan akan menang,” katanya.
BH ONLINE