RAMALLAH – Pasukan khas Israel menembak dan membunuh seorang lelaki Palestin pada Khamis di bandar Nablus, Tebing Barat utara, kata pegawai Palestin.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata dalam satu kenyataan ia telah dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Am Hal Ehwal Awam mengenai kematian Qasim Aboud Mutie Aklik, yang dibunuh oleh tentera Israel di Nablus.
Ghassan Daghlas, gabenor Nablus, memberitahu Xinhua, pasukan khas Israel memasuki kawasan kejiranan di Nablus dengan menyamar sebagai orang awam dan menembak Aklik, yang sebelum ini telah ditangkap dan menghabiskan masa di penjara Israel. Pasukan itu juga mengambil mayatnya, katanya.
Tentera Israel tidak segera mengulas.
Keganasan di Tebing Barat telah meningkat sejak 7 Okt 2023. Lebih 800 rakyat Palestin telah terbunuh oleh tembakan dan bedilan Israel dalam tempoh itu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
XINHUA