TUMPAT — Mendakwa berdepan dengan tekanan hidup dan tiada pekerjaan menyebabkan seorang ibu tunggal nekad ingin terjun sungai dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini.

Bagaimanapun cubaan wanita berusia 43 tahun itu gagal apabila sempat diselamatkan anggota polis yang kebetulan melalui lokasi itu jam 11 pagi tadi.

Menurut saksi yang enggan dikenali, wanita terbabit datang ke lokasi dengan memandu sendiri kereta jenis Proton Waja sebelum menghentikan kenderaan itu dan keluar untuk terjun.

“Mangsa yang sedang menangis sempat dipegang anggota polis yang kebetulan lalu di situ, namun berlaku juga pergelutan kerana wanita itu meronta sehingga turut menendang anggota polis yang cuba menyelamatkannya.

“Ketika ditanya mengapa ingin bertindak sebegitu (terjun sungai), wanita terbabit memberi alasan tertekan selain tiada pekerjaan dan dia juga mendakwa adalah bekas guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA),” katanya ketika dihubungi.

Wanita yang menetap di Kampung Padang Tembesu, di sini itu dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu untuk tindakan lanjut.

Saksi berkata, melalui pemeriksaan di telefon bimbitnya, wanita itu turut memberi pesanan kepada dua anak lelakinya termasuk mengenai jumlah wang dalam simpanan serta di mana disimpan barangan penting.

“Ia seolah-olah wanita itu memang nekad ingin terjun sungai namun mujur sempat diselamatkan,” katanya.

BH ONLINE