GUWAHATI – Tiga pelombong dikhuatiri maut di dalam lombong arang batu ditenggelami air di daerah terpencil di timur laut negeri Assam di India, kata pihak berkuasa pada Selasa, ketika pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam untuk cuba mencapai sembilan lelaki yang terperangkap di dalamnya.

Tiga mayat telah dikesan oleh pasukan penyelamat tetapi masih belum ditemui, kata kerajaan tempatan dalam satu kenyataan.

Pasukan tentera mengerahkan penyelam, helikopter dan jurutera untuk membantu menyelamatkan sembilan lelaki itu, yang telah terperangkap sejak Isnin di lombong di daerah Dima Hasao yang berbukit di Assam, kata tentera dalam satu kenyataan.

“Lombong itu dinaiki air semalam — sumbernya adalah (bahagian) dalaman. Mereka (pelombong) mungkin melanggar beberapa saluran air dan air keluar dan membanjirinya,” Mayank Kumar, ketua polis daerah di Dima Hasao memberitahu Reuters.

Kumar berkata pasukan penyelamat daripada tentera, pasukan bantuan bencana negara dan negeri sedang berusaha untuk mencapai pelombong yang terperangkap.

Gambar dikongsi oleh tentera di media sosial menunjukkan pekerja penyelamat dengan tali, kren dan peralatan lain berdiri di tepi lombong menegak yang besar.

Bencana berkaitan lombong arang batu di bahagian timur laut terpencil India bukanlah sesuatu yang luar biasa. Dalam salah satu bencana terbesar, pada 2019, sekurang-kurangnya 15 pelombong tertimbus ketika bekerja di lombong haram di negeri jiran Meghalaya selepas ia dinaiki air dari sungai berhampiran.

REUTERS