KUCHING – Identiti semua mangsa termasuk lima maut dalam tragedi tanah runtuh yang menimbus dua rumah di Kampung Lereng Bukit, Miri, awal pagi tadi sudah dikenal pasti.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan perkembangan itu sebentar tadi.
Mereka adalah Fatimah Dawi, 71; Sazarena Arabi, 41; Irsyad Syairah, 16; Nur Rania Syafiqah, 11, dan Nur Raisyah Syahirah, 8.
Semua mangsa turut disahkan tinggal serumah.
Identiti dua penghuni rumah sama yang terselamat dikenali sebagai Nur Irsalina Syairah, 17 dan Arabi Samsudin, 71.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu sebelum ini berkata 12 individu dikenalpasti terbabit dalam kejadian tanah runtuh itu termasuk lima maut manakala dua lagi cedera.
Terdahulu PGO JBPM Sarawak turut memaklumkan menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.58 pagi.
Dalam pada itu, identiti lima lagi mangsa yang terselamat dalam kejadian itu turut sudah dikenalpasti.
Mereka adalah Muhammad Mahmud, 60; Massahan Mustafa, 58; Nur Afiqah, 29; Nur Athirah Nabinah, 29 dan Nur Aqilah Nadirah, 18.
Massahan disahkan mengalami kecederaan ringan pada kaki kiri.
Sementara itu, kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri itu pernah berlaku 16 tahun lalu.
Dalam kejadian awal pagi 16 Januari 2009, dua pekerja stesen minyak terkorban selepas tertimbus dalam runtuhan yang turut meranapkan stesen terbabit.
Pada 23 Januari 2014 pula, satu lagi kejadian tanah runtuh di kawasan berdekatan sehingga memaksa 16 penghuni rumah di situ meninggalkan kediaman mereka.
BH ONLINE