KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tiada campur tangan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Allahyarham Tun Daim Zainuddin dalam keputusan untuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, 66, menjelaskan meskipun taklimat siasatan diberikan kepada ketiga-tiga tokoh politik berkenaan pada 2018, keputusan pendakwaan dibuat sepenuhnya oleh Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas.
Beliau berkata taklimat membabitkan tiga individu dilakukan secara berasingan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman R Rajagopal pada Mei, Julai dan Ogos 2018.
Saksi pembelaan ke-19 itu berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan Najib berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
Ahmad Akram: Dalam pernyataan saksi, kamu ada menyatakan bahawa PDRM telah memberi taklimat kepada Dr Mahathir atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin (Menteri Dalam Negeri), Tun Daim yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan. Setuju dengan saya, dalam ketiga-tiga taklimat itu, tidak ada seorang pun membuat apa-apa keputusan?
Mohamad Fuzi: Ya, mereka tidak boleh membuat keputusan.
Ahmad Akram: Sebab keputusan untuk menuduh atau tidak adalah terletak kepada Peguam Negara?
Mohamad Fuzi: Ya.
Ahmad Akram: Saya katakan bahawa tidak ada unsur campur tangan keputusan yang dibuat Peguam Negara untuk menuduh Datuk Seri Najib?
Mohamad Fuzi: Setuju.
Pada 30 Oktober tahun lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengarahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan bersambung esok.
BH ONLINE – BERNAMA