JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor berjaya menumpaskan sindiket ‘pasport terbang’ susulan penahanan seorang wanita tempatan yang dipercayai berperanan sebagai dalang sindiket itu, semalam.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir, berkata suspek berusia 47 tahun itu ditahan menerusi Ops Serkap pada jam 6 petang di Taman Nusa Bistari, di sini.
Beliau berkata, penahanan wanita terbabit adalah hasil risikan selama dua minggu oleh Unit Risikan Bahagian Penguatkuasa JIM Johor.
“Wanita itu disyaki menjadi dalang utama sindiket pemalsuan dokumen (pasport China). Kegiatan ini dipercayai sudah beroperasi sejak kira-kira tiga bulan lalu.
“Hasil serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai unit risikan di sebuah petak parkir turut menahan seorang lelaki warga China berusia 34 tahun, yang dipercayai sebagai orang tengah sindiket.
“Sindiket ini mengenakan bayaran sehingga RM500 bagi setiap satu pasport yang diproses,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Baharuddin berkata, turut disita sebuah kenderaan jenis Toyota Mark X berwarna putih.
“Lima pasport China dan wang tunai berjumlah RM12,100 turut dirampas dalam operasi itu,” katanya.
BH Online