KUANTAN — Wanita berusia 42 tahun yang disyaki memperdaya mangsa membuat serahan barang kemas tanpa rela di sebuah kedai kosmetik di Jaya Gading, di sini, pada 14 November lalu, berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata suspek ditahan di Slim River, Perak pada 9 Januari lalu, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.
Katanya, berikutan penahanan wanita itu, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang disyaki terbabit dalam kes itu di daerah ini, pada 10 Januari lalu.
“Pada 10 Januari lalu, pengadu yang juga pembantu jualan kedai kosmetik mengenal pasti wajah suspek utama (wanita) selepas kawad cam dilakukan.
“Susulan itu, pada 14 Januari lalu, suspek lelaki membawa polis ke sebuah apartmen di Bukit Tinggi, Bentong sebelum menemukan dan merampas barang kes.
“Antara yang ditemui ialah lima utas jam tangan, empat rantai leher dan tangan, tiga bentuk cincin, cermin mata dan baju,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, selain kes di Kuantan, suspek disyaki turut terbabit kes lain di Maran dan Temerloh.
Berdasarkan semakan, katanya, wanita terbabit mempunyai 22 rekod jenayah lampau antaranya kes kecurian, penipuan dan melanggar perintah pengawasan polis.
Katanya, dua suspek itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 411 KK.
“Kedua-dua suspek ini juga akan diserahkan kepada polis IPD Temerloh untuk siasatan.
“Dengan tertangkapnya dua suspek ini, polis Kuantan berjaya melumpuhkan kegiatan penipuan secara bersemuka dan licik ini yang menyasarkan mangsa daripada golongan wanita yang memakai barang kemas.
“Kita juga menasihati masyarakat sentiasa berhati-hati dan mempertingkat langkah keselamatan terutama ketika berurusan dengan pelanggan di premis perniagaan,” katanya.
BH ONLINE