KUALA LUMPUR — Seorang wanita warga emas ditemui hampir rentung di atas katil dalam kebakaran di sebuah apartmen di Taman Paramount, Petaling Jaya, dekat sini, hari ini.
Ketua Zon 2 Petaling, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Syariman Wan Saleh, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada jam 5.42 petang.
Susulan itu, katanya, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara bergegas ke lokasi sebelum mendapati berlaku kebakaran di sebuah unit kediaman di tingkat satu apartmen lima tingkat berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebakaran itu hanya berlaku dalam sebuah bilik berkeluasan 10 x 50 kaki persegi di unit kediaman berkenaan tanpa membabitkan ruang lain.
“Kebakaran hanya berlaku pada katil dan tilam di dalam bilik itu dan tidak membabitkan struktur bangunan.
“Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan terbakar kira-kira 60 peratus di atas katil berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa dikenal pasti sebagai seorang wanita tempatan berusia 62 tahun dan dipercayai bersendirian di rumah ketika kejadian.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung punca kematian. Pasukan forensik bomba juga berada di lokasi untuk siasatan lanjut berkaitan punca kebakaran,” katanya.
BH ONLINE