JOHOR BAHRU — Seorang pemilik kedai percetakan ditemui maut di kediamannya di Taman Bistari Indah, Ulu Tiram, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata mayat lelaki berusia 40 tahun itu dijumpai di rumah kedai berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

“Mayat mangsa ditemui teman wanitanya, iaitu seorang warga Indonesia berusia 32 tahun, yang dikatakan pergi mencarinya selepas dua hari tiada menerima panggilan daripada si mati.

“Difahamkan, mangsa tinggal seorang diri di rumah kedai itu. Hasil siasatan awal mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan akan dibedah siasat, esok,” katanya ketika dihubungi.

Setakat ini, beliau berkata, kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR).

BH ONLINE