KUCHING — Dua insiden serangan buaya berlaku di negeri ini minggu ini dengan terbaru lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang di Kuala Baram, Miri, Khamis lalu disahkan menjadi mangsa serangan reptilia itu.

Mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Salim, 49, ditemui dalam keadaan tidak sempurna pada jam 11.15 pagi ini di lokasi kira-kira enam kilometer dari pos kawalan bomba (PKB).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kehilangan mangsa pada jam 4.50 petang, Khamis lalu.

Beliau berkata, pemanggil memaklumkan mangsa dikhuatiri disambar buaya ketika sedang memancing berdekatan Jambatan ASEAN di Kuala Baram.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong yang bergegas ke lokasi menemui pancing dipercayai milik mangsa di tebing sungai berdekatan jambatan itu.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sehinggalah mayat mangsa ditemui pada hari keempat pencarian, hari ini.

“Selain lima anggota bomba, SAR turut disertai lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UPKS), lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta tiga orang awam.

“Sebaik tiba di PKB, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,’ katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam insiden pertama juga pada petang Khamis lalu, seorang lelaki maut selepas disambar reptilia itu di Kampung Sampun Tebun, Asajaya.

Mayat mangsa, Gindek Julau, 41, ditemui oleh abangnya tidak lama selepas dia dilaporkan disambar buaya di Sungai Sampun itu.

BH ONLINE