CAPE TOWN — Pihak berkuasa tempatan melaporkan pada Ahad, empat wanita kini hilang, manakala seorang lelaki dan seorang kanak-kanak ditemui mati di lokasi berasingan di tengah-tengah banjir dahsyat di wilayah Eastern Cape di Afrika Selatan.
Sebahagian daripada Kariega, sebuah bandar di utara bandar Gqeberha di bawah Perbandaran Metropolitan Teluk Nelson Mandela di wilayah itu, kini ditenggelami air akibat hujan lebat yang berlaku pada Sabtu.
Hujan lebat mengakibatkan rumah dinaiki air, kenderaan hanyut dan bekalan elektrik terputus di kawasan tertentu.
“Perbandaran Teluk Nelson Mandela terus mengalami keadaan cuaca buruk yang mengakibatkan banjir di beberapa bahagian Gqeberha dan sebahagian besar Kariega,” kata kerajaan perbandaran dalam satu kenyataan pada pagi Ahad.
“Dua Pusat Operasi Bersama (JOC) telah diaktifkan di Gqeberha dan Kariega,” katanya.
“Keadaan buruk itu juga mengakibatkan bekalan elektrik terputus di seluruh Metro.”
Sementara itu, menurut Institut Penyelamat Negara Afrika Selatan (NSRI), beberapa operasi menyelamat sedang dijalankan, yang telah memindahkan orang ramai dengan selamat dari bangunan, kediaman dan kenderaan.
Dalam satu kejadian pada awal pagi Ahad, seorang pegawai keselamatan melaporkan sebuah kenderaan dengan enam orang terperangkap di Sungai Brak, Rocklands yang dinaiki air. Seorang lelaki berjaya diselamatkan dari sebuah pulau yang terbentuk di sungai, manakala seorang wanita dewasa telah dihanyutkan dan masih hilang.
Mujurlah, “baki empat daripada enam orang ini ditemui selamat di sebelah Selatan sungai,” kata NSRI.
Dalam kenyataan berasingan dikeluarkan pada Ahad, kerajaan wilayah Eastern Cape menyatakan “perkhidmatan kecemasan telah bekerja sepanjang malam serta masih bekerja dan mencari untuk membantu orang yang terjejas akibat banjir.”
XINHUA