BEIRUT — Serangan udara Israel di timur dan selatan Lubnan pada pagi Jumaat dan Sabtu membunuh sekurang-kurangnya 69 orang dan mencederakan 126 yang lain, menurut pihak berkuasa tempatan.

Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam bawah Kementerian Kesihatan Awam berkata dalam satu kenyataan, serbuan Israel di wilayah Baalbek-Hermel di timur Lubnan telah mengakibatkan 52 kematian dan 72 cedera.

Bagi selatan Lubnan, serbuan dan tembakan Israel berterusan pada Sabtu, membunuh sekurang-kurangnya 17 dan mencederakan 54, menurut ketua Jabatan Perubatan Daerah Tyre di Kementerian Kesihatan, Wissam Ghazal.

Laporan dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Bencana di Majlis Menteri-menteri Lubnan melaporkan bahawa dalam tempoh 24 jam lalu, 120 serangan udara telah direkodkan di kawasan di selatan, Nabatieh, pinggir selatan Beirut, dan Baalbek di timur negara itu, menjadikan jumlah serbuan sejak 8 Okt 2023, kepada 11,767.

Bagi pihaknya, Hizbullah mengeluarkan satu siri kenyataan pada Sabtu mengumumkan pejuangnya menyerang beberapa pasukan tentera dan penempatan Israel dengan dron dan peluru berpandu.

Serangan itu termasuk pangkalan Glilot unit perisikan tentera 8200 di pinggir bandar Tel Aviv, Pangkalan Udara Palmachim Israel di selatan Tel Aviv, dan beberapa penempatan Israel.

XINHUA