KUALA LUMPUR – Lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) maut dalam serangan udara oleh rejim Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata serangan berlaku jam 1.30 tengah hari, ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan Israel.
“Tindakan menyerang orang awam yang sedang menjalankan tugas kemanusiaan adalah jenayah paling keji dan terkutuk.
“MAPIM mengutuk sekeras-kerasnya jenayah perang ini dan menyeru rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara kita di Gaza,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sani Araby berkata, MAPIM dan rakan rasminya Al-Khair Foundation amat terkejut dan berdukacita dengan tragedi meragut nyawa petugas lapangan itu, dengan tiga daripadanya ialah pasukan media yang berdedikasi dalam menjalankan misi kemanusiaan.
Beliau berkata, lapan petugas kemanusiaan terkorban dikenal pasti Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad dengan semuanya ialah warga Palestin.
“Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa tidak berdosa, tetapi turut menjejaskan operasi kemanusiaan penting di Gaza.
“MAPIM kehilangan beberapa petugas yang sangat komited dan ikhlas berkhidmat termasuk seorang rakan media yang sangat rapat dengan saya,” katanya.
Sani Araby bagaimanapun berkata MAPIM akan tetap teguh dengan komitmen dalam melaksanakan kerja kemanusiaan di Gaza, dengan setakat ini organisasi itu berjaya mendirikan 1,000 khemah yang menjadi perlindungan sementara mangsa yang kehilangan rumah akibat pengeboman tanpa henti di Gaza.
Beliau turut menegaskan serangan itu adalah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi hak penduduk awam di kawasan perang serta perlu dikecam oleh seluruh dunia tanpa kompromi.
“MAPIM menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera menghentikan keganasan ini dan memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa yang terkorban serta keluarga mereka.
“Kejadian ini bukan sekadar serangan terhadap Gaza, ia serangan terhadap kemanusiaan.
“Kami menggesa pemimpin dunia, organisasi kemanusiaan dan masyarakat sivil untuk bersatu mengecam jenayah kejam ini dan menuntut pertanggungjawaban daripada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
BH ONLINE-BERNAMA