JERUSALEM — Menteri Pertahanan, Yoav Gallant berkata pada Khamis, Israel akan memerangi Hizbullah “dengan sekuat tenaga” jika kumpulan bersenjata Lubnan itu meneruskan “pencerobohan”nya merentasi sempadan.

“Kami tidak akan membenarkan militia Hizbullah menggugat kestabilan sempadan dan wilayah itu. Jika Hizbullah meneruskan pencerobohannya, Israel akan memeranginya, dengan sekuat tenaga,” kata Gallant dalam mesej yang ditujukan kepada rakyat Lubnan, menurut satu kenyataan dari pejabatnya.

Hizbullah telah berbalas tembakan hampir setiap hari dengan tentera Israel bagi menyokong sekutu Hamas sejak serangan kumpulan militan Palestin pada 7 Oktober ke atas Israel mencetuskan perang di Gaza.

Kebimbangan terhadap perang habis-habisan semakin memuncak selepas Israel membunuh komander tentera tertinggi Hizbullah, Fuad Shukr dalam serangan udara di pinggir bandar Beirut minggu lalu.

Mengingatkan rakyat Lubnan tentang perang 2006 antara Israel dan Hizbullah, Gallant memberi amaran kepada Lubnan supaya “mempelajari pelajaran masa lalu agar tidak terjerumus ke dalam senario berbahaya pada Ogos 2024.”

Perang 34 hari yang dahsyat pada Julai-Ogos 2006 membunuh lebih daripada 1,200 orang di Lubnan, kebanyakannya orang awam, dan kira-kira 160 orang Israel, kebanyakannya tentera.

AN – AFP, 080824