KUANTAN — Empat ahli keluarga wanita yang ditemui mati di rumahnya dengan kesan jerutan di leher, direman sehingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mereka merangkumi suami, bapa, bapa mentua dan ibu mentua mangsa.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati tiada kesan pecah masuk ke rumah mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan mati di kediamannya dengan kesan jerutan pada leher di Indera Mahkota di sini, kelmarin.
“Telefon bimbit dan kunci kereta milik mangsa bagaimanapun didapati hilang.
“Kamera litar tertutup (CCTV) kediaman itu turut hilang dan mungkin ditanggalkan suspek manakala barang peribadi lain tidak diambil,” katanya di sini, hari ini.
Mangsa berusia 28 tahun yang mempunyai anak lelaki berusia tiga tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh suaminya yang juga warga China di rumah itu pada jam 7.30 malam, kelmarin.
Sebelum itu, bapa mangsa yang berusia 62 tahun membuat laporan kehilangan anaknya pada jam 3.25 petang hari kejadian.
BH ONLINE