KUALA LUMPUR — Penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan sebat diperoleh pendakwah selebriti, Da’i Syed adalah prosedur biasa dan tiada kaitan dengan dakwaan kononnya mahkamah boleh ‘dibeli’.

Syed atau nama penuhnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, sebelum ini ditahan di Penjara Kajang selama 21 hari sebelum dibebaskan semalam sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi didengar dan diputuskan.

Peguam, Dr Mahmud Jumaat, tampil menjelaskan perkara itu selepas melihat pelbagai perdebatan di media sosial kononnya pendakwah itu menggunakan ‘kabel’ atau pengaruh, mahkamah boleh ‘dibeli’ dan kritikan terhadap sistem kehakiman negara.

“Sebelum ini, hakim Mahkamah Sesyen menolak permohonan tertuduh menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendapati tiada keadaan khas untuk itu.

“Bagaimanapun, pasukan pembelaan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas sabitan dan hukuman diputuskan hakim Mahkamah Sesyen.

“Pasukan pembelaan turut memfailkan notis usul untuk memohon penggantungan pelaksanaan hukuman di bawah Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah.

“Ini adalah proses biasa bagi mana-mana pesalah. Apabila permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman ditolak di Mahkamah Sesyen, mereka failkan permohonan kedua di Mahkamah Tinggi.

“Itulah yang dilakukan peguam tertuduh, permohonan kedua dilakukan di Mahkamah Tinggi dan diterima,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mahmud berkata, mahkamah akan meneliti jika ada keadaan khas yang mewajarkan permohonan diterima antaranya graviti kesalahan, tempoh hukuman berbanding tempoh rayuan didengar, rekod kesalahan sama ada perayu akan melakukan kesalahan sama sekiranya dibebaskan, faktor kesihatan dan lain-lain.

“Saya ingin tegaskan keadaan ini tiada kena mengena dengan mahkamah bagi keistimewaan khas, salah guna kuasa atau tertuduh gunakan ‘kabel’.

“Ini memang prosedur standard biasa (SOP) apabila Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman dan permohonan dibuat untuk penangguhan hukuman tetapi ditolak.

“Syed Shah Iqmal ada peluang kedua membuat rayuan di Mahkamah Tinggi dan diterima selepas menilai keadaan tertentu yang mewajarkan dia menangguhkan hukuman,” katanya.

Beliau berkata, menjadi amalan biasa dalam perundangan negara tertuduh dilepaskan sementara menanti rayuan sabitan dan hukuman di Mahkamah Tinggi.

“Contohnya kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi menolak penangguhan hukuman menyebabkan wanita itu kini berada dalam penjara,” katanya.

Sehubungan itu, Mahmud berharap orang ramai bertenang dan tidak mencemuh sistem kehakiman negara terutama hakim yang menggunakan budi bicara membenarkan permohonan itu kerana ia adalah proses biasa.

“Saya percaya sistem perundangan kita sangat adil, yang bersalah kan tetap menerima hukuman, hanya cepat atau lambat,” katanya.

Pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana didapati bersalah merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman menolak permohonan tertuduh menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Pada 10 April 2023, Hakim Rihaida Rafie melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada tuduhan berkenaan tanpa memanggilnya membela diri.

Pada 10 Disember 2020, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun dalam bilik di sebuah kondominium di I-City di Seksyen 7, jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

BH ONLINE