GUA MUSANG — Seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah sejak semalam ditemui meninggal dunia pada ketinggian kira-kira tiga meter di atas pokok dokong di Kampung Jerek di sini, pagi tadi.

Mohamad Mat Noor, 51, ditemui di atas pokok dokong oleh abangnya, Abd Rani, 59, kira-kira jam 8.30 pagi tadi yang keluar mencarinya selepas semalaman tidak pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata siasatan awal mendapati, mangsa keluar ke kebunnya untuk memetik buah dokong kira-kira jam 3 petang semalam.

Namun, katanya, sehingga jam 8 malam mangsa masih belum pulang dan pada pagi ini abangnya keluar untuk mencari mangsa ke kebunnya yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

“Pada pagi tadi abang mangsa keluar mencari adiknya di kebun milik keluarga terletak 800 meter dari jalan utama.

“Mangsa ditemui tersangkut pada celah dahan pokok dokong dengan ketinggian kira-kira tiga meter dan baldi buah masih lagi berada di atas pokok itu.

“Abang mangsa kemudian meminta bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang untuk menurunkan mayat adiknya dari atas pokok dokong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang masih bujang disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Jerek.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Jenazah mangsa sudah diserahkan kepada keluarganya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerek,” katanya.

BH ONLINE