KOTA KINABALU — Lima termasuk seorang bayi dan tiga kanak-kanak rentung dalam kebakaran di perkampungan setinggan Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas, di sini, tengah hari tadi.

Berdasarkan maklumat awal, lima mangsa itu adalah anak dua keluarga yang berjiran.

Tiga daripada mangsa adalah adik beradik dikenali sebagai dikenali Raina Adrian, 1, Raida, 3, dan Raisa, 4, manakala dua lagi anak keluarga jiran mereka yang juga adik beradik dikenali Siti Faridah Wahid, 3, dan kakaknya, Almidah, 14.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kebakaran dilaporkan membabitkan empat rumah dan sebuah gerai pada kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Katanya, semua mangsa ditemui rentung dalam bilik mandi salah sebuah rumah yang terbakar dalam kejadian itu.

“Pihak bomba menjalankan kerja-kerja membawa keluar mayat mangsa yang rentung.

“Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.47 tengah hari.

Katanya, sepasukan 35 pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan dibantu BBP Kota Kinabalu, BBP Tuaran dan BBP Putatan.

“Operasi terkawal pada jam 1.29 tengah hari dan pasukan bomba masih lagi memadam bara-bara api dan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan dengan mangsa yang terlibat,” katanya.

Farhan berkata semua mangsa sudah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Pasukan Forensik JBPM,” katanya.

BH ONLINE