JERUSALEM/BEIRUT — Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada Jumaat memberi amaran kepada penduduk di 63 kampung di selatan Lubnan supaya tidak pulang ke rumah mereka sehingga diberitahu kelak.

Jurucakap IDF Avichay Adraee menyiarkan di X peta menunjukkan kawasan larangan di selatan Lubnan di sempadan Israel, di mana kampung-kampung ini terletak, memberi amaran sesiapa memasuki kawasan ini akan terdedah kepada bahaya.

Kawasan larangan, kira-kira 120 km panjang dan 3 km lebar, memanjang dari Naqoura di barat ke Shebaa di timur.

Sumber tentera Lubnan memberitahu Xinhua tentera Lubnan telah berusaha untuk membina penghadang di lintasan dan pintu masuk kampung ini untuk menghalang penduduk daripada masuk.

Sementara itu, sumber melaporkan serangan udara Israel dan tembakan artileri di beberapa bandar dan kampung, manakala Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan berkata sebuah jentolak Israel sedang bekerja di sektor timur kawasan sempadan di selatan Lubnan untuk tujuan ketenteraan.

Juga pada Jumaat, IDF mengeluarkan angka mengenai konflik hampir 14 bulan dengan Hizbullah, yang berakhir Rabu ketika perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa.

Menurut laporan IDF, 14 pemimpin Hizbullah dan lebih 2,500 militan, termasuk 140 komander, terbunuh, dan 155,000 barangan tentera Hizbullah telah dirampas, termasuk peluru berpandu, dron, peluru, alat komunikasi, komputer, peralatan elektronik dan dokumen.

Ia menganggarkan Hizbullah kini memiliki kurang daripada 30 peratus dron yang dimilikinya sebelum perang.

IDF menambah bahawa ia telah menyerang 12,500 sasaran Hizbullah di seluruh Lubnan, termasuk 1,600 pusat perintah tentera dan 1,000 kemudahan penyimpanan senjata.
Daripada serangan ini, 360 telah dilakukan di Beirut.

Kabinet keselamatan Israel pada malam Selasa meluluskan perjanjian gencatan senjata dengan Hizbullah di Lubnan, bermula awal Rabu. Menurut perjanjian gencatan senjata, tentera Lubnan akan mengawal kawasan sempadan selatan dalam tempoh 60 hari akan datang, Israel akan berundur secara beransur-ansur, dan orang awam akan pulang ke rumah.

XINHUA