KUALA LUMPUR — Seorang guru tadika cedera dipukul dan ditendang suaminya sendiri di sebuah pangsapuri di Jalan Ampang Mewah, Ampang dekat sini, disyaki akibat cemburu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam kelmarin ketika mangsa, 38, berselisih faham dengan suaminya yang semasa itu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata semasa perselisihan faham itu, suspek menuduh isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Suspek kemudiannya memukul pada bahagian belakang badan dan menendang pengadu.

“Semasa kejadian, suspek juga ada mengacukan pisau ke arah pengadu dan kejadian itu disaksikan anak pasangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan pengadu mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian leher.

“Susulan aduan diterima, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Ampang Jaya menahan suami mangsa di kediaman mereka kira-kira jam 10.30 malam tadi.

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek berusia 45 tahun negatif penyalahgunaan dadah dan tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Mohd Azam berkata, suspek direman tiga hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, seorang lelaki berusia 42 tahun parah termasuk mengalami pendarahan dalam otak dipercayai dipukul dengan objek keras.

Mohd Azam berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.10 malam Sabtu lalu di Jalan Pandan Indah, Ampang menyebabkan mangsa dimasukkan ke Zon Merah Hospital Ampang.

“Hasil siasatan dijalankan, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an kira-kira jam 11 malam, kelmarin di tepi jalan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Siasatan lanjut mendapati motif kejadian kerana dendam lama suspek terhadap mangsa yang dikatakan pernah mencederakan suspek dalam satu kejadian, tahun lalu,” katanya.

Mohd Azam berkata, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Suspek direman lima hari bermula semalam sehingga 18 Januari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

BH ONLINE