TUMPAT — Penduduk di 10 perkampungan sekitar gugusan pulau, di sini, terpaksa bertarung nyawa mengharungi arus deras Sungai Kelantan untuk keluar mendapatkan barangan keperluan, terutama bekalan makanan yang semakin kehabisan ketika berdepan bencana alam kini.
Banjir yang sedang melanda mengakibatkan hampir keseluruhan kampung di pinggir sungai itu dinaiki air sehingga memasuki rumah penduduk.
Penduduk Kampung Pulau Tongkang, Azmi Seman, 46, berkata keadaan itu menyebabkan beliau bersama isteri dan anak nekad mengambil risiko meredah sungai itu walaupun arus deras susulan cuaca hujan dan berlaku pertembungan air pasang.
“Sebelum ini, kami sudah berusaha menyediakan stok secukupnya. Namun, bekalan elektrik terputus sejak beberapa hari lalu menyebabkan banyak barangan terpaksa dibeli, termasuk lilin.
“Oleh itu, saya cekalkan hati untuk keluar mengemudi perahu bersama isteri dan anak kerana kalau tidak beli (bekalan makanan), kami akan kelaparan berikutan tiada yang sanggup datang membantu di saat (paras) air sungai sedang naik sekarang. Memang takut tetapi tawakal sajalah.
“Walaupun ada kedai runcit di kawasan pulau sendiri, barangannya terhad,” katanya ketika ditemui di Jeti Kok Majid, di sini, hari ini.
Hasil tinjauan di jeti itu mendapati air sungai sudah melimpah ke daratan, manakala bot penduduk serta penambang terpaksa diletakkan melebihi jarak jeti asal yang hampir tenggelam.
Sementara itu penduduk Kampung Pulau Beluru, Norhayati Mohamad, 52, berkata beliau keluar ke tanah besar untuk menghantar anaknya yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pinang, di sini, hari ini.
“Kalau bukan disebabkan hendak menghantar anak, memang saya tidak akan mengambil risiko meredah sungai dalam keadaan begini tetapi apakan daya.
“Banjir sudah mencecah paras 0.6 meter di luar rumah, malah bahagian dapur juga dimasuki air. Banjir kali ini agak besar dan seakan mengimbau kembali kejadian bah kuning 2014,” katanya.
BH ONLINE