MASJID TANAH – Bekas wartawan Berita Harian, Hasan Omar, 56, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital Melaka akibat serangan jantung pada kira-kira jam jam 11 pagi tadi.
Anak ketiganya, Mohd Haiqal, 21, berkata Allahyarham dikejarkan ke hospital berkenaan dengan ambulans selepas mengalami serangan jantung di sebuah kedai kereta di Bachang.
“Ahli keluarga tidak mengesyaki apa-apa yang berlaku sebelum itu kerana arwah bapa kelihatan sihat dan ceria pada pagi itu. Kemudian kami mendapat berita yang bapa terpaksa dikejarkan ke hospital.
“Sebelum ini arwah pernah menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang pada 2014 dan keadaannya sihat sehinggalah pada pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Haiqal berkata, Allahyarham dijadualkan untuk menghadiri majlis konvokesyennya di Universiti Melaka (UNIMEL) bersama ibunya esok, namun semuanya tidak kesampaian.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noorazilah Muhammad, 54, dan tiga anak lelaki serta seorang perempuan.
Beliau pernah bertugas bersama BH di Sabah, Kedah dan Kuala Lumpur sebelum menjadi wartawan sambilan di Melaka.
BH Online