KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun hancur tangan kiri, selain luka pada muka selepas menjadi mangsa terkini letupan mercun di Kelantan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang semalam apabila mangsa dikatakan bermain mercun yang diubah suai bersama dua rakan lain di Tumpat, dekat sini.

Dua rakan mangsa yang turut bermain mercun terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata kejadian itu mengakibatkan tangan kiri kanak-kanak itu hancur, dengan mangsa juga luka pada bahagian muka.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan, sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini,” katanya.

Untuk Ramadan ini, Dr Zaini berkata, sejumlah 23 kes membabitkan mercun direkodkan dengan 13 mangsa dimasukkan ke wad, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Hospital Tanah Merah dan Jeli masing-masing mencatatkan tiga kes diikuti dua kes di Hospital Bachok, manakala selebihnya adalah satu kes di beberapa hospital lain.

“Saya menasihatkan ibu bapa sentiasa mengawasi anak mereka agar tidak bermain mercun atau bunga api… jika ingin bermain sekalipun, elakkan mercun atau bunga api yang berbahaya.

“Paling penting jangan ubah suai mercun kerana biasanya pengubahsuaian itu dibuat untuk menjadikan bunyi atau letupan lebih kuat dan itu sangat membahayakan bukan sahaja yang bermain tapi orang di sekeliling,” katanya.

BH ONLINE


Facebook Posts