
KOTA BHARU – Berbaki kurang seminggu untuk Aidilfitri, warga emas dari Kampung Kubang Palas, Banggu di sini, tidak menang tangan menyiapkan tempahan 15,000 ketupat palas.
Rahimah Omar, 64, berkata, beliau turut dibantu anaknya untuk proses membungkus ketupat dan perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 1,000 biji ketupat palas setiap hari bermula minggu kedua Ramadan bagi memastikan segala tempahan dapat disiapkan mengikut jadual.
Ibu kepada sembilan cahaya mata ini berkata, sejak lebih 30 tahun lalu, dia menjual lima jenis ketupat palas iaitu manis, lemak, pulut hitam, serunding daging dan kacang.
“Bermula tahun ini, saya terpaksa menaikkan harga ketupat palas yang dijual antara 10 sen hingga 30 sen sebiji berbanding sebelum ini 90 sen hingga RM1 sebiji disebabkan kenaikan harga kelapa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Palas, Banggu.
Beliau mula membuka tempahan ketupat palas kepada penduduk kampung dan orang luar pada akhir bulan lalu, dan terpaksa menolak jika ada kerana k disebabkan bimbang tidak dapat menyiapkannya.
“Setiap hari seawal 7 pagi, saya sudah mula menyiapkan segala kelengkapan termasuk mesin kelapa dan mengukus pulut secara berperingkat dengan kira-kira 15 kilogram beras pulut direndam semalaman,” katanya.
Katanya, ketika memproses ketupat palas, dia ‘mengarong’ (mengadun) pulut bersama santan menggunakan kudratnya 100 peratus tanpa bantuan mesin.
“Proses ‘mengarong’ pulut bersama santan agak memenatkan kerana ia sentiasa perlu dikacau menggunakan senduk kayu supaya adunan menjadi lebih sebati, selain ketupat tahan lama iaitu sehingga enam bulan jika diletakkan di dalam peti sejuk beku serta tidak cepat basi.
“Bagaimanapun, petua orang dahulu kala ada memberitahu, selepas pulut siap dikukus ia tidak boleh diletakkan di atas simen kerana pulut akan berbau ‘tengik’.
“Kebiasaannya proses membungkus ketupat palas ini berakhir sehingga lewat malam dan walaupun tidak cukup tidur, namun saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT,” katanya.
Ditanya apa perbezaan ketupat dihasilkannya berbanding pengusaha lain, Rahimah berkata, jika kebanyakan orang lain menggunakan santan yang sudah siap ditempah, namun dia lebih memilih untuk membeli bekalan kelapa atau menggunakan kelapa dari kebun untuk diparut sendiri.
“Saya tidak yakin untuk menggunakan santan yang dibeli di kedai kerana bimbang ia menjejaskan rasa ketupat palas yang dihasilkan,” katanya.
Rahimah berkata, dia bersyukur kerana ketupat palas hasil air tangannya masih mendapat sambutan menggalakkan setiap kali Aidilfitri selain turut mempunyai pelanggan tetap luar dari Kelantan.
“Lebih terharu, wang yang dikumpul melalui hasil jualan ketupat palas membolehkan saya mengerjakan ibadah haji pada 2023,” katanya.
BH ONLINE