KUCHING – Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Batu 8, Jalan Penrissen, di sini, Selasa lalu ditemui di Kapit yang jaraknya kira-kira 700 kilometer dari Kuching.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Rohana Nanu berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun itu ditemui dalam keadaan selamat dan dia mengaku menaiki bas dari Kuching ke bandar di tengah Sarawak itu.
Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan yang lengkap berpakaian seragam sekolah diserahkan oleh seorang lelaki di Balai Polis Kapit jam 3.30 petang, semalam.
Sebelum itu, katanya, lelaki terbabit menemui kanak-kanak itu tanpa arah tujuan di Terminal Bas Kapit, di Jalan Bleteh.
“Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak itu menaiki sebuah bas ekspres secara bersendirian dari Kuching Sentral kira-kira jam 9.30 malam pada 25 Mac dan tiba di Kapit pada keesokan harinya kira-kira jam 8 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rohana berkata, ibu bapa kanak-kanak itu yang dimaklumkan penemuan itu datang ke Balai Polis Kapit pada jam 12.45 tengah malam semalam untuk mengambil anak mereka.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu mengaku menaiki bas ekspres berkenaan seorang diri tanpa disedari oleh pemandu mahupun penumpang lain.
Difahamkan, kanak-kanak itu menyelinap masuk ke dalam bas dari Kuching ke Kapit pada malam Selasa lalu dan bersembunyi di celah tempat duduk sepanjang perjalanan kira-kira 10 jam.
Rohana berkata, tiada sebarang unsur jenayah atau kes penculikan berlaku terhadap kanak-kanak berkenaan.
“Kanak-kanak itu sudah diserahkan kepada ibu bapanya dalam keadaan baik dan selamat dan kes itu yang pada mulanya diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang kini ditutup dengan status ‘No Further Action’ (NFA),” katanya.
BH ONLINE