Hospital di Gaza hampir lumpuh di bawah kepungan masa perang Israel, yang telah memotong kuasa letrik dan penghantaran makanan, bahan api dan keperluan lain ke wilayah itu.

Di dalam jabatan bersalin di Hospital Nasser di bandar selatan Khan Younis, beban kerja meningkat dua kali ganda kerana perpindahan besar-besaran dari utara Gaza.

Demikian menurut pakar neonatal Dr. Asaad Al Nawajha, yang berkata pada Rabu pasukannya telah melihat peningkatan dalam kelahiran pramatang ketika perang selama sebulan semakin sengit.

Shouq Hararah adalah salah seorang ibu terbabit. Dia berkata persalinannya berlaku dengan “tiada prosedur kelahiran yang betul, tiada anestesia, ubat penahan sakit atau apa-apa sahaja.”

“Saya melahirkan anak kembar. Anak lelaki dibenarkan keluar, tetapi anak perempuan masih berada di wad bersalin,” katanya.

Berdiri di hadapan barisan inkubator yang berbunyi bip, Al Nawajha menekankan akibat perang yang mengancam nyawa.

“Semua kerja kami bergantung kepada elektrik; semua mesin yang anda lihat di sini bergantung padanya,” kata doktor itu.

“Apabila elektrik terputus, peranti ini berhenti berfungsi, dan semua bayi akan menghadapi kematian.”

The National memetik AP


Facebook Posts