SELAYANG — Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan pegawai polis dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ atas pertuduhan menghina kesopanan seorang peguam, tahun lalu.

Majistret Nur Hafizah Rajuni membuat keputusan itu selepas mangsa, P Taneswaran, 41, yang juga saksi tidak mahu meneruskan kes terhadap Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, ketika mahu memberi keterangan dalam perbicaraan pertama hari ini.

Pada 26 Jun tahun lalu, wanita itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menghina kesopanan Taneswaran dengan berkata, “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu.”

Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Sri Gombak di sini, pada 1 tengahari, 15 Jun 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Manoharan ketika dihubungi berkata anak guamnya dibebaskan selepas Taneswaran memaklumkan tidak mahu meneruskan kes terhadap Sheila.

“Perbicaraan kes sepatutnya dijadualkan bermula hari ini, namun mangsa tidak mahu meneruskan prosiding. Mendengar perkara itu, majistret kemudiannya membebaskan anak guam saya,” katanya.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Azmal.

Tertuduh bagaimanapun masih berdepan dua lagi kes iaitu mengugut seorang wanita, M Silverkoomarie, 70, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa pada jam 12 tengah hari, pada tarikh dan lokasi sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyebut pangkat polis dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya, di lokasi sama pada jam 1.25 tengahari 15 Jun tahun lalu dan dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

BH ONLINE