BACHOK — Seorang kanak-kanak lemas selepas tergelincir ke dalam tali air ketika memancing di Kampung Mujur, Jelawat, di sini, hari ini.

Mangsa, Muhammad Bashir Mohd Arman, 6, dipercayai berbasikal bersama abangnya, Mohd Iman Baharin, 10, ke lokasi memancing itu yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman, berkata dua beradik itu dikatakan tiba di tali air berkenaan kira-kira jam 9.10 pagi dan turun ke tebing untuk memancing ikan.

Namun tidak lama kemudian, beliau berkata, abang mangsa melihat Muhammad Bashir tergelincir ke dalam air lalu cuba membantu menyelamatkannya tetapi gagal.

Katanya, Mohd Iman Baharin bergegas pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada ibu, sebelum kakak mangsa menghubungi bapa untuk ke lokasi.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira empat jam selepas pencarian dilakukan pihak bomba dan polis di lokasi dia dilaporkan terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok bagi pengesahan kematian, sebelum dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Mohd Azrie berkata, operasi mencari mangsa membabitkan 33 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

BH ONLINE