KLANG – Seorang kerani maut digilis treler selepas terjatuh sebaik motosikal ditunggangnya terlanggar lubang di lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru, dekat sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika lelaki berusia 37 tahun itu dalam perjalanan dari Shah Alam ke tempat kerjanya di Pelabuhan Utara, dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie, berkata siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong sebuah lori sebelum terlanggar lubang dan tercampak ke atas jalan.

“Mangsa kemudian digilis treler yang membawa muatan tiang batu dari arah sama dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH Online


Facebook Posts