CHUKAI — Resah setiap kali hujan lebat, penduduk di Kuala Kemaman berharap ahli Parlimen yang bakal dipilih Sabtu ini dapat menyelesaikan isu banjir di kawasan berkenaan.

Menurut penduduk, masalah banjir bukan isu baharu, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian menyeluruh dilakukan pihak bertanggungjawab.

Penduduk berkata walaupun terdapat beberapa projek dilakukan namun ia tidak menyelesaikan isu, malah umpama memberi masalah baharu kepada mereka.

Latifah Ahmad, 44, berkata sebelum ini kerajaan ada menambak beberapa kawasan di Kampung Kuala Kemaman untuk menghalang banjir melanda perumahan di situ.

“Dulu dekat hadapan ni banyak rumah, tapi apabila kerajaan mahu tambak di kawasan itu, penduduk diarahkan untuk berpindah dan banjir pun berkurangan.

“Namun kawasan lain iaitu berdekatan dengan sungai pula yang terjejas banjir terutamanya di kawasan baharu iaitu perumahan untuk nelayan.

“Kawasan sini memang setiap tahun akan banjir, jenis air cepat naik dan memasuki rumah, tetapi lambat surut. Empat atau lima hari baru air surut.

“Paling teruk tahun lalu, ada rumah yang air sampai ke pinggang. Jadi kita mohon la supaya ada satu jalan penyelesaian berkaitan isu ini,” katanya.

Murni Daud, 53, berkata masalah banjir sangat membebankan penduduk tetapi mendakwa isu itu diambil mudah oleh pihak berkaitan.

“Masalah kita ini bila air naik la, tapi kadang kadang mereka (pemimpin) tak ambil berat pun. Kita kalau boleh nak cari pemimpin yang boleh bantu penduduk. Bukannya cakap kosong.

“Kita nak mereka atasi banjir dan hulurkan bantuan jika penduduk memerlukan. Macam contohnya bila kita dengar berita ada pengumuman kepada penduduk di sini, tapi sebenarnya kita tak terima pun bantuan berkenaan.

“Bila kita pergi ke mereka dan tanyakan mengenai bantuan itu, katanya tak ada. Sama macam isu sebelum ini, ada penduduk yang tak dapat bantuan berkaitan.

“Katanya borang tercicir dan beri pelbagai alasan yang akhirnya penduduk itu tak dapat bantuan, walhal rumahnya paling teruk terjejas banjir,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

BH Online