KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang laluan KL Sentral – Tanjung Malim – KL Sentral mengalami gangguan disebabkan sebuah kren binaan yang digunakan untuk projek parkir bertingkat, tumbang di atas landasan kereta api, petang semalam.

Menurut Jabatan Komunikasi Strategik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), insiden itu berlaku di KM355.749 antara Rawang dan Kuang pada jam 5.35 petang, yang menyebabkan talian atas (overhead line) terputus.

Mengulas lanjut, katanya, ia sekali gus menyebabkan perkhidmatan terbabit mengalami kelewatan daripada jadual asal melebihi dua jam.

“Perkhidmatan tren yang terjejas adalah KTM Komuter laluan KL Sentral – Tg Malim yang ditamatkan di Stesen Sungai Buloh manakala laluan Tg Malim – KL Sentral ditamatkan di stesen Serendah.

“Bas perantaraan disediakan di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Serendah.

“Bagi perkhidmatan ETS laluan Padang Besar – Gemas, tren ditamatkan di Stesen Tanjung Malim dan penumpang dibawa menaiki bas perantara yang disediakan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh bagi meneruskan perjalanan ke KL Sentral dan Gemas dengan menaiki tren,” katanya melalui kenyataan, semalam.

Menurut KTMB, ETS bagi laluan Gemas – KL Sentral – Butterworth dan Gemas – KL Sentral – Padang Besar pula, penumpang diaturkan menaiki tren ETS dari KL Sentral ke Stesen Sungai Buloh dan seterusnya dibawa menaiki bas ke Stesen Tanjung Malim untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, dengan menaiki tren di laluan yang tidak terjejas.

Katanya, sepanjang gangguan perkhidmatan ini, KTMB menempatkan kakitangan di stesen dan anggota Polis Bantuan untuk membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas.

“Pengguna yang terbabit juga boleh mendapatkan maklumat semasa melalui media sosial rasmi KTMB dan juga daripada kakitangan KTMB yang bertugas di stesen. Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB,” katanya.

KTMB juga dijadual mengadakan sidang media jam 9 pagi ini di Stesen KTM Rawang bagi menjelaskan berhubung insiden terbabit.

Semalam, terdapat rungutan daripada penumpang perkhidmatan KTMB yang mendakwa terpaksa menunggu hampir empat jam bagi menunggu ketibaan tren, tanpa diberikan penjelasan oleh kakitangan bertugas.

Melalui Facebook, seorang penumpang yang menggunakan akaun Amera Sabrena penumpang berang kerana tidak diberikan sebarang kemudahan termasuk ruang menunggu di situ.

“Apa dah jadi ni KTM Berhad jadual train EG9425 KL Sentral – Gemas 12 Disember 2023 pukul 9.40 malam tapi sampai 2:00 pagi masih tak sampai tren?.

“Tiada langsung rasa empati kepada warga emas, penumpang tak sampai 20 orang apa salahnya berilah keselesaan untuk kami menunggu di ruang Ruby Lounge yang dah tak ada orang pun,” katanya.

BH Online


Facebook Posts