KUALA LUMPUR — Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencuri dua barangan kemas daripada jasad seorang wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Alifah Mohd Sapie, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M S Arunjothy.
Mengikut pertuduhan, bapa lima anak itu didakwa mencuri masing-masing seutas rantai leher dan tangan milik si mati bernama Nur Farhana Nisha Syazwan, 26, dalam sebuah kereta di tepi jalan Prima Setapak, Wangsa Maju pada jam 2.40 pagi, 1 Oktober lalu.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Vivi’Asnita Zaina’Larifin tidak menawarkan jaminan berikutan ia adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam Lavinia Raj yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan berikutan mempunyai tanggungan lima anak masih kecil dan bersekolah berusia 12, 10, 8, 6 dan dua tahun.
“Anak guam berpangkat Lans Koperal dengan pendapatan hanya RM2,500 sebulan, sekiranya jaminan tinggi ditetapkan, tertuduh akan mengalami kesusahan untuk menampung keluarga,” katanya yang memohon jaminan minimum RM1,000.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Arunjothy membenarkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 22 Januari depan.
Sebelum ini, media melaporkan bapa mangsa, Syazwan Abddulah, 59, mendakwa barang kemas dipakai anak perempuannya yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak di sini pada 1 Oktober lalu, hilang.
Syazwan yang juga pesara polis dilapor berkata dia dimaklumkan oleh pemilik rumah sewa anaknya yang berusia 26 tahun itu berhubung penemuan mayatnya pada awal pagi, 1 Oktober lalu.
Difahamkan anaknya ditemukan anggota polis peronda yang membuat rondaan selepas menyedari kereta Proton Saga dinaikinya diparkir di kawasan terbabit dalam keadaan berkunci dengan enjin masih hidup dan lampu menyala.
Sebaik jenazah anaknya selamat dikebumikan di Banting, Selangor, dia terdetik untuk mencari rantai, loket serta gelang emas pemberian nenek serta kakaknya itu.
Susulan pendedahan bapa mangsa, empat anggota polis ditahan berhubung kehilangan barang kemas milik wanita yang meninggal dalam kereta.
Kes itu juga mengundang kemarahan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang menyifatkan tindakan mencuri barang kemas daripada jasad seorang wanita yang sudah tidak bernyawa adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Perbuatan ini sama sekali tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa sahaja terbabit dalam jenayah seumpama ini.
“Peringatan ini bukan sahaja untuk semua pegawai dan anggota tetapi ia juga kepada diri saya,” katanya hari ini.
BH ONLINE