NILAI – Lapan anggota polis daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Seremban cedera ringan selepas bas dinaiki mereka melanggar tembok pembahagi di Plaza Tol Setul arah Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), petang semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata kejadian berlaku jam pukul 5.25 petang, ketika bas yang dinaiki seramai 16 anggota FRU sedang dalam perjalanan dari Cheras menghala ke Seremban.

“Apabila sampai di lokasi, ada sebuah lori dikatakan mengubah haluan dari lorong kanan masuk ke lorong kiri di hadapan bas milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pemandu bas cuba mengelak daripada melanggar lori itu, bagaimanapun bas yang dipandu dipercayai terbabas sebelum melanggar tembok pembahagi plaza tol,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, seramai lapan penumpang bas berkenaan mengalami kecederaan ringan.

“Mereka dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Manakala lapan lagi penumpang termasuk pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu tanpa kecermatan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

BH Online


Facebook Posts