KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki disyaki menunjukkan kemaluan di hadapan seorang wanita dalam gerabak Transit Aliran Massa (MRT) dari Stesen Kepong Baru ke Stesen Metro Prima, di sini, pada 5 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata suspek berusia 31 tahun ditahan di Bandar Sungai Long, Kajang dekat sini, kira-kira jam 11.40 malam tadi.
Katanya, aduan diterima daripada mangsa berusia 22 tahun kira-kira jam 9.32 malam pada 5 Disember.
“Mangsa melaporkan berhubung perbuatan seorang lelaki tempatan yang menunjukkan kemaluan ke arahnya ketika berada di dalam gerabak MRT.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika suspek berada di dalam salah sebuah gerabak MRT dari Stesen Kepong Baru ke Stesen Metro Prima, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Sukarno berkata dalam soal siasat suspek mengaku dengan sengaja menunjukkan kemaluan ke arah pengadu semasa berada di dalam gerabak terbabit.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek akan direman bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu tindakan mengeluarkan perkataan atau menunjukkan isyarat yang dimaksud bagi mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil kerana berkelakuan tidak sopan.
BH Online