PUTRAJAYA – Lesen syarikat umrah, Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, digantung berkuat kuasa pada 28 Februari lalu hingga 31 Ogos ini.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan, sepanjang tempoh itu, syarikat terbabit diarah menyelesaikan semua perjalanan yang sudah ditempah atau dibayar dan tidak membuat sebarang urus niaga baharu, termasuk tidak membuat pengiklanan jualan pakej.
Syarikat itu juga diarah untuk memulangkan semula bayaran serta dokumen milik jemaah umrah yang memilih membatalkan tempahan dengan serta-merta.
“MOTAC memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI,” menurut MOTAC dalam kenyataan hari ini.
Pada 14 Januari lalu, Hejira Travel and Tours Holding Sdn Bhd didakwa gagal menguruskan perjalanan lebih 300 jemaah di bawah kendaliannya ke Tanah Suci.
Dalam pada itu, MOTAC dalam kenyataan berasingan, memaklumkan selaras Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992, keputusan diambil untuk membatalkan lesen syarikat, Borneovac Travel Sdn Bhd, berkuat kuasa pada 28 Februari lalu.
Syarikat berkenaan sebelum ini didakwa mengoperasikan pakej memancing menggunakan bot laju sehingga memasuki perairan Filipina secara haram pada 1 September 2024 dan menyebabkan 15 individu, termasuk warga Malaysia dan China ditahan pihak berkuasa negara itu.
BH ONLINE – BERNAMA