KUALA LUMPUR – Pelajar yang disyaki pelaku buli di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dekat Pulau Pinang seperti yang tular menerusi video yang tersebar di media sosial, sudah digantung persekolahan masing-masing.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tindakan itu diambil bagi memastikan pelajar-pelajar terbabit tidak mengganggu proses siasatan, selain memberikan mesej jelas pihaknya tiada kompromi dalam isu buli.
“Saya sudah menerima hasil siasatan laporan penuh selepas mengarahkan pengurusan MARA dan Bahagian Pendidikan Menengah melakukan siasatan terperinci berhubung video yang tular itu.
“Hasil siasatan terperinci memang insiden itu benar-benar berlaku di MRSM di utara tanahair.
“Dalam proses siasatan ini, semua pelajar terbabit mesti digantung terlebih dahulu agar tidak mengganggu proses siasatan dan kedua memberikan mesej yang jelas bahawa tiada kompromi dalam isu ini.
“Kalau didapati perkara itu (buli) memang berlaku dan pelaku bersalah kita di peringkat MARA dan MRSM akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan sesekali berkompromi,” katanya dalam video pendek yang dimuatnaik di Facebook, petang ini.
Terdahulu, pagi tadi Asyraf Wajdi memaklumkan akan menyiasat video tular dikaitkan dengan perbuatan buli membabitkan pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya kejadian dalam rakaman video berkenaan adalah perbuatan buli yang memang berlaku di institusi pendidikan MARA itu.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada semua pelajar di MRSM serta mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA, bahawa tiada kompromi jika membabitkan insiden buli.
“Saya telah tegaskan beberapa kali prinsip ‘You Touch You Go’. Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang bentuk buli atau sebarang budaya buli dalam apa juga bentuk sama asa fizikal mahupun mental berlaku di mana-mana institusi pendidikan MARA.
“MARA adalah medan untuk melahirkan pemimpin mana mungkin kita nak melahirkan pemimpin dangkal akal budinya dan tercemar perilaku akhlak,” katanya.
BH ONLINE