MUAR – “Saya menyesal buat benda itu (amang seksual), saya janji tak ulangi lagi dan berharap mahkamah pertimbangkan hukuman terhadap saya,” rayu peniaga makanan ringan sebelum Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan terhadap tuduhan amang seksual pekerja pusat snuker, Isnin lalu.
Tertuduh, Muhamad Nizam Fitri Rahmat, 23, dihukum selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan bagi maksud seksual terhadap pekerja yang juga remaja berusia 17 tahun di Batu Pahat, jam 1.30 tengahari, Isnin lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan fakta kes, pada jam 4.48 petang 19 Mac lalu, satu laporan polis dibuat pengadu yang juga mangsa mengatakan dia dicabul seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang bekerja di sebuah pusat snuker di Batu Pahat.
Siasatan awal polis mendapati ketika kejadian mangsa berada di premis itu sebelum didatangi seorang lelaki iaitu tertuduh menghampirinya yang ketika itu sedang membersihkan meja.
Secara tiba-tiba tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap mangsa sebanyak dua kali selain cuba menyentuh bahagian lain namun remaja perempuan itu berjaya mengelak.
Bertindak atas maklumat, polis menahan tertuduh di rumahnya dua hari selepas kejadian bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain penjara dan sebatan, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun sebaik selesai hukuman.
BH ONLINE