KUALA LUMPUR — Polis menembak mati seorang suspek kes samun dalam kejadian berbalas tembakan di susur masuk ke Tol Sungai Balak, Lebuhraya SILK dekat Kajang, petang tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata insiden berlaku kira-kira jam 3 petang selepas suspek dikesan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang sedang membuat rondaan di lokasi.
Menurut beliau, pasukan berkenaan menahan kereta dipandu suspek namun lelaki itu enggan berhenti sebaliknya melepaskan tembakan ke arah polis.
“Polis telah membalas tembakan dan suspek dipercayai mati terkena tembakan dalam kejadian tersebut.
“Dalam kejadian ini juga, seorang anggota polis turut terkena tembakan, bagaimanapun, anggota itu terselamat kerana tembakan mengenai baju kalis peluru yang dipakai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Hussein, suspek dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia pertengahan 30-an.
“Suspek mempunyai enam rekod jenayah samun dan dipercayai juga terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang beberapa bulan yang lalu.
“Siasatan berkait kes ini dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan bunuh),” katanya.
Pada 17 Jun lalu, media melaporkan empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak kedai emas di sebuah pusat beli belah di Kajang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Mohamad Nasir Drahman berkata kesemua suspek memakai topeng dan bersarung tangan gelap masuk ke premis di tingkat satu dan terus memecahkan cermin pameran emas menggunakan tukul besi dan mengambil barang kemas.
BH ONLINE