AMPANG – Pengetua sebuah tadika didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menyebabkan kecederaan dengan memulas telinga seorang muridnya berusia enam tahun selepas kanak-kanak itu tersalah menulis huruf ‘G’ pada tahun lalu.
Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berumur 61 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjarakan 20 hari jika gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh yang juga seorang ibu tunggal, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan itu dengan memulas telinga mangsa di sebuah tadika di Taman Cempaka, dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi 6 Mac tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu peguam, Jenifer Irithusamy yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dan memberi peluang kepada anak guamnya untuk menentukan kehidupan ke arah lebih baik.
“Tertuduh adalah ibu tunggal serta mempunyai dua anak, dan bekerja sebagai pengetua di tadika dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
“Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah, polis dan mangsa atas perbuatan ini, serta berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama lagi,” katanya.
Jenifer memaklumkan bahawa setiap tahun, antara 15 hingga 20 kanak-kanak didaftarkan ibu bapa di tadika itu, dan berharap anak guamnya diberi peluang kedua untuk berubah.
“Bawah jagaan tertuduh, ramai kanak-kanak menjadi insan bijak, dan tertuduh sangat berharap sisa hidupnya kini bersama keluarga tersayang,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dan mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi, selain pengakuan bersalah bukan automatik mendapat hukuman ringan.
Mengikut fakta kes, ibu kandung kanak-kanak itu yang juga seorang juruaudit berusia 37 tahun, dimaklumkan oleh anak sulungnya berusia 10 tahun pada 6 Mac 2024 bahawa mangsa dikatakan dipukul oleh tertuduh dengan menggunakan pen ‘marker’ di bahagian tangan kanan.
Tertuduh juga didakwa menarik serta memulas telinga mangsa kerana tersalah menulis huruf ‘G’.
Hasil pemeriksaan pegawai perubatan kemudian mengesahkan terdapat kecederaan tisu lembut pada telinga kanan kanak-kanak itu.
BH ONLINE