KUALA LUMPUR – Lebih RM173 juta jumlah kerugian membabitkan 15,133 aduan diterima oleh Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh kira-kira setahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata jumlah itu direkodkan sejak NSRC ditubuhkan pada 12 Oktober 2022 hingga 30 November lalu.
Mengulas lanjut, katanya, daripada jumlah itu, wang yang berjaya disekat hanya kira-kira RM33 juta, bersamaan dengan 19 peratus daripada nilai keseluruhan kerugian.
“Jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan NSRC adalah RM173,339,234.73 dengan purata 30 kes penipuan dilaporkan setiap hari kepada NSRC membabitkan kes penipuan yang berlaku dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Pada masa sama, Ramli berkata, sejak Januari lalu, JSJK turut menerima 23 laporan polis berkenaan kes penyamaran sebagai pegawai dari NSRC membabitkan nilai kerugian RM720,495.20.
Beliau berkata, mangsa akan menerima panggilan dari individu yang mendakwa pegawai dari NSRC yang ingin membatalkan nombor telefon mangsa ekoran ada aduan bahawa nombor telefon mangsa menghantar pautan haram serta mesej penipuan.
“Bagi tujuan siasatan, panggilan kemudiannya akan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis. Mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan yang diberikan sehinggalah mengakibatkan mangsa membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan.
“Kita mahu mengingatkan NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan dari orang ramai, berbentuk komunikasi sehala. NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu. Justeru, sebarang panggilan yang mengaku dan pihak NSRC adalah satu penipuan,” katanya.
Sementara itu, Ramli berkata, JSJK membuka sebanyak 38,851 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah komersil dengan nilai kerugian RM2,198,264,912.26 sejak 1 Januari hingga 8 Disember tahun ini.
Beliau berkata, jumlah kes tertinggi iaitu 35,554 atau 91.5 peratus adalah membabitkan kes penipuan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Daripada 35,554 kes penipuan disiasat, 85.5 peratus atau 33,235 kes adalah berkaitan penipuan dalam talian iaitu jenayah e-dagang sebanyak 11,173 kes.
“Telekomunikasi (9,830); pelaburan tidak wujud (5,178); pinjaman tidak wujud (4,113); jenayah e-kewangan (2,041) dan ‘love scam’ (900),” katanya.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 38,851 kertas siasatan yang dibuka, kes pecah amanah jenayah merekodkan sebanyak 1,162 kes atau tiga peratus; ah long (946); jenayah siber (840); pemalsuan (129), wang palsu (95) dan salahguna harta dengan curang (45).
Katanya, operasi yang dijalankan JSJK turut berjaya menahan seramai 2,811 individu merangkumi jenayah telekomunikasi (1,145 individu), jenayah e-kewangan (104) ‘love scam’ (167) dan jenayah e-dagang (1,395) bagi tempoh September hingga November lalu.
Ramli berkata, melalui kemudahan makmal yang berfungsi menganalisis transaksi berkaitan mata wang kripto yang pertama ditubuhkan di Asia Tenggara, JSJK melalui Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency sudah menjalankan analisis terhadap 532 e-wallet membabitkan nilai melebihi RM1 bilion.
BH Online