DOHA – Qatar, pengantara utama dalam konflik Gaza, berkata pada Selasa, rakyat Palestin – bukan orang luar – mesti memutuskan masa depan wilayah itu selepas perang Israel-Hamas.

Jurucakap Kementerian Luar, Majed Al-Ansari memberitahu sidang akhbar Doha bahawa isu itu adalah “persoalan Palestin,” selepas Israel berkeras untuk menghapuskan Hamas dan AS mencadangkan mengambil alih wilayah itu.

“Dari perspektif kami, ini adalah persoalan Palestin tentang apa yang berlaku selepas konflik ini,” kata Ansari ketika ditanya mengenai objektif dinyatakan Israel untuk menghapuskan Hamas.

“Ia adalah persoalan Palestin mengenai siapa yang mewakili rakyat Palestin dalam kapasiti rasmi dan juga kumpulan politik dan parti dalam sfera politik,” katanya.

Menteri Luar Israel, Gideon Saar terdahulu pada Selasa berkata rundingan bagi fasa gencatan senjata Gaza seterusnya, dibantu Qatar sebagai pengantara, akan bermula minggu ini.

AN-AFP/18 Feb 2025


Facebook Posts