IPOH – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemukan lemas ketika mandi bersama rakannya di Lata Tebing Tinggi dekat Selama, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu jam 4.53 petang sebelum tiba ke lokasi kejadian 14 minit kemudian.
Beliau berkata setibanya anggota pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Selama di lokasi kejadian, didapati mangsa, S Muguthan telah dijumpai orang awam.
“Tindakan ketua operasi mengarahkan anggota membuat penyelamatan menggunakan kaedah CPR (resusitasi kardiopulmonari), namun tidak ada tindak balas daripada mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir di lokasi kejadian. Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
BH ONLINE-BERNAMA