AMPANG JAYA — Polis menahan seorang lelaki dipercayai merogol remaja kurang upaya (OKU) yang dikenali menerusi aplikasi cari jodoh dalam kejadian di Taman Saga, di sini, pada 17 Ogos lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa berusia 36 tahun.
“Menurut pengadu, ketika berada di rumahnya di Taman Saga, dia bertanyakan kepada mangsa berkaitan kamera litar tertutup (CCTV) di ruang tamu yang tidak berfungsi.
“Mangsa yang juga OKU kategori ketidakupayaan intelektual berusia 16 tahun kemudian memaklumkan suspek datang ke rumah dan merogolnya tanpa rela,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, katanya, pihak polis menahan seorang buruh berusia 24 tahun yang juga kenalan kepada mangsa dikenali menerusi aplikasi cari jodoh di rumah suspek di Subang jam 10 malam, 21 Ogos lalu.
“Hasil ujian awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah. Suspek direman lima hari bermula 22 Ogos lalu sehingga hari ini dan akan disambung reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol,” katanya.
BH ONLINE