MOSCOW – Enam orang, termasuk tiga wartawan, terbunuh dalam serangan artileri Ukraine di wilayah timur Luhansk, kata pihak berkuasa Rusia pada Isnin.
Seorang wartawan untuk akhbar harian Izvestia, Alexander Fedorchak, dan dua pekerja saluran TV Zvezda – jurukamera Andrey Panov dan pemandu Alexander Sirkeli – terbunuh dalam serangan itu, kata Jawatankuasa Siasatan Rusia dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa itu menambah bahawa ia membuka kes jenayah berikutan kejadian itu.
Seorang remaja berusia 14 tahun dan wartawan untuk agensi berita negara Rusia TASS, Mikhail Skuratov, turut cedera, menerima luka serpihan.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Ukraine, berjanji untuk mendapatkan reaksi daripada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggalakkan kerjasama antarabangsa melalui pendidikan, sains dan budaya, yang bertujuan untuk membina keamanan, keadilan dan kebebasan asasi manusia.
Mengulas mengenai insiden itu dalam satu kenyataan berasingan, pejabat Setiausaha Agung PBB berkata PBB menentang pembunuhan wartawan dan mahu kejadian seperti itu disiasat secara menyeluruh.
ANADOLU