DAMSYIK — Serangan udara Israel menghentam sasaran tentera milik pihak berkuasa baharu Syria buat pertama kali pada Rabu, membunuh tiga orang, kata pemantau perang dan sumber perubatan.

“Sebuah dron Israel melancarkan serangan yang menyasarkan konvoi tentera… membunuh dua anggota Jabatan Operasi Ketenteraan” dan seorang orang awam, di wilayah Quneitra di selatan Syria, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Sumber perubatan memberitahu AFP seorang pegawai tempatan dari kawasan Ghadir Al-Bustan adalah antara tiga yang terbunuh dalam serangan itu.

“Ini adalah serangan pertama Israel yang menyasarkan pasukan keselamatan pihak berkuasa baharu,” kata Rami Abdel Rahman, yang mengetuai pemerhati berpangkalan di Britain itu, dengan rangkaian sumber di dalam Syria.

Pasukan keselamatan telah melakukan sapuan di kawasan itu untuk mencari senjata di rumah orang awam, kata pemerhati itu.

Israel telah melancarkan beratus-ratus serangan ke atas sasaran milik tentera Syria yang kini tidak berfungsi sejak tentera pimpinan militan menggulingkan Presiden Bashar Assad pada 8 Disember, memusnahkan sebahagian besar senjata tentera, kata pemerhati itu.

Pada hari yang sama Assad digulingkan, Israel juga mengumumkan bahawa tenteranya melintasi garis gencatan senjata dan menduduki zon penampan dikawal PBB yang telah memisahkan tentera Israel dan Syria di Dataran Tinggi Golan yang strategik sejak 1974.

Israel merampas sebahagian besar Dataran Tinggi Golan dari Syria dalam perang pada 1967, kemudian mengilhakkan wilayah itu dalam satu langkah yang sebahagian besarnya tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

AN-AFP, 15 Jan 2025