LENGGONG – Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia maut dipercayai lemas selepas terperangkap dalam lubang pembetung di sebuah resort yang sedang dalam pembinaan di Kampung Ibol, Sumpitan, di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata dua warga tempatan berusia 29 dan 37 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara warga Indonesia meninggal dunia di hospital.

Katanya, insiden berlaku ketika tiga mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah resort yang sedang dibina bersama empat rakan mereka yang terselamat, yang mana kesemua mangsa terperangkap dalam lubang pembetung itu.

“Maklumat yang diterima mengatakan terdapat seramai tujuh mangsa terperangkap di dalam lubang pembetung ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di resort sedang dibina itu.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, bomba dimaklumkan lima daripada tujuh yang terperangkap dibawa keluar oleh orang awam dan dihantar ke klinik kesihatan berdekatan untuk menerima rawatan.

“Dua mangsa terakhir dikeluarkan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata, lubang pembetung dianggarkan bersaiz 5.2 meter (m) panjang, 4.1m lebar dan berkedalaman 2.4m.

Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong digerakkan ke lokasi sebaik panggilan diterima jam 10.08 pagi.

Beliau berkata, tindakan operasi termasuk dengan melaksanakan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap terhadap anggota berserta alat pernafasan untuk turun ke dalam lubang pembetung berkenaan bagi mengeluarkan mangsa.

“Anggota kemudiannya mengikat mangsa dengan menggunakan tali dan menarik mangsa keluar dari lubang pembetung,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik, sementara yang cedera dihantar ke klinik kesihatan berhampiran.

BH ONLINE


Facebook Posts