KULIM — Wanita warga Indonesia ditemukan meninggal dunia di Hentian Bas Jalan Batu, Pekan Kulim, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, mayat wanita berusia 40-an itu ditemui pada jam 10.05 pagi dan identiti wanita itu belum diketahui.
“Waris si mati atau orang awam yang mengenalinya diminta memaklumkan kepada pihak polis dengan segera.
“Ciri fizikal wanita itu adalah berbadan kurus, berambut pendek dan mempunyai wajah berbentuk bujur.
“Si mati mempunyai ketinggian empat kaki 11 inci dan berkulit sawo matang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Azizul berkata, mayat wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan wanita itu dipercayai berkemungkinan mati disebabkan penyakit.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan si mati boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Inspektor Ahmad Faris Jusoh,” katanya.
BH ONLINE