KUALA TERENGGANU – Seorang wanita menerima lima jahitan di kepala selepas cedera dihempap basikal yang dibuang dari tingkat 12 bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, di sini, semalam.
Kejadian berlaku ketika Azuraini Yazid, 43, yang juga pembantu TABIKA Kemas di Pasir Panjang dalam dalam perjalanan untuk membuang sampah, kira-kira jam 4 petang.
Suami mangsa, Jusri Ibrahim, 48, berkata isterinya tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri dengan kepala berdarah selepas dihempap basikal yang dibuang itu.
Jusri yang juga pemandu di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, isterinya tidak sedarkan diri dan diberi rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Isteri dikejarkan ke unit kecemasan HSNZ menerima lima jahitan di kepala dan keadaannya stabil,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Tambah Jusri, dia sudah berjumpa pemilik basikal terbabit, namun pihak berkenaan mendakwa basikal anaknya yang berada di luar rumah dibuang individu lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan sudah merakam percakapan seorang penghuni kediaman yang mengaku basikal itu miliknya, namun tidak terbabit membuang basikal daripada tingkat 12.
“Setakat ini siasatan masih dijalankan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil serta dibenarkan pulang ke rumah awal pagi ini,” katanya.
Kes membabitkan barangan dicampak dari tingkat atas kediaman berstrata khususnya PPR bukan baharu, malah pernah ada kejadian televisyen dibuang dari tingkat atas bangunan sehingga menghempap kereta yang diparkir seperti berlaku di Taman Seri Intan di Ampang, Selangor pada April 2018.
Pada Januari tahun sama juga, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas bangunan PPR Seri Pantai, Pantai Dalam di ibu negara.
Kejadian berlaku jam 8.30 malam ketika S Sathiwaran yang juga pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya dikatakan sedang berjalan bersama ibunya S Kasthurivai, 45, untuk balik ke rumah mereka di tingkat 16 blok bangunan terbabit.
BH ONLINE