BINTULU — Dua pekerja kapal maut manakala seorang parah dalam letupan di sebuah kapal di perairan Samalaju, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali, berkata dua mangsa maut yang belum diketahui identiti adalah kelasi kapal dari Sibu berusia 25 tahun dan rakannya pembantu jurutera berusia 36 tahun, dari Perak.

“Seorang lagi mangsa juga lelaki tempatan berusia 22 tahun dari Sabah dilaporkan cedera parah pada muka dan tangan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ketika kejadian 16 kru berada dalam kapal Supply Amara dan polis menerima maklumat kejadian pada jam 2 pagi tadi.

Katanya, semasa kejadian pada jam 10.40 malam Jumaat, semua kru kapal berkenaan yang merupakan pekerja syarikat minyak dan gas, dikejutkan dengan satu bunyi letupan yang kuat pada bahagian bawah kapal.

“Semua kru kemudian turun ke bawah kapal dan mendapati bilik enjin berasap dan pintu utama bilik enjin terpelanting keluar akibat letupan kuat,” jelas Nixon.

Pemeriksaan mendapati seorang mangsa cedera parah iaitu melecur pada bahagian muka dan tangan.

Kes dikategorikan sebagai kematian mengejut berikutan tiada unsur jenayah.

BH ONLINE